Hukum berkenaan Pendengaran Prosiding Kes Mal Mahkamah Syariah melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021 telah membincangkan setelah mendengar pembentangan kertas cadangan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Muzakarah mencadangkan bahawa:
Perkhidmatan Guaman Syarie dan Kehakiman Syarie merupakan perkhidmatan yang sangat diperlukan dan wajar disenaraikan sebagai salah satu "perkhidmatan perlu" di bawah Jadual kepada Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang digubal di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
Muzakarah juga bersetuju pendengaran prosiding kes mal Mahkamah Syariah melalui teknologi komunikasi jarak jauh adalah diharuskan dengan syarat-syarat berikut:
Hakim bagi kes bicara hanya layak membicarakan kes di dalam bidang kuasa Wilayatul Qadha’ yang termaktub padanya;
Pelaksanaan setiap sesi prosiding di antara pihak-pihak yang terlibat dalam Majlis al-Qadha’ tersebut hendaklah di tahap al-yaqin;
Tidak terdapat unsur gharar, tadlis dan syak di antara pihak-pihak yang terlibat semasa sesi prosiding;
Melaksanakan syarat-syarat dan rukun-rukun dengan sempurna ketika prosiding kehakiman, keterangan dan kesaksian; dan
Mematuhi perintah Ulil Amri dan Undang-Undang yang berkuatkuasa.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) disaran mengambil tindakan yang perlu bagi pelaksanaan keputusan ini.
Sumber: JAKIM
See insights
0 Ulasan