Bersanding & menabur bunga di atas kubur.....harus? haram?
Adat atau uruf ini adalah amalan tradisi sesuatu masyarakat dari turun temurun atau pun yang diwarisi daripada budaya lain tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Ia termasuk amalan yang diulang-ulang sehingga sebati dalam masyarakat.
Dalam kamus Dewan edisi keempat adat didefinasikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulu kala) di dalam sesuatu masyarakat.
Pada awal Islam, Nabi Muhammad SAW turut menerima pakai beberapa adat Arab Jahiliyah yang telah sedia ada dan cara orang bukan Arab (ajam). Sebagai contoh Nabi SAW pernah menjemput tukang kayu Rom untuk membina minbar di masjid berdasarkan kesenian pertukangan Rom. Baginda SAW juga menerima cara peperangan ala Farsi apabila membina parit sebagai taktik peperangan dalam peperangan Khandaq dengan mengambil cadangan daripada Salman al-Farisi.
Agama Islam juga mengambil kira dan menjaga adat kebiasaan orang Arab yang baik serta tidak bertentangan dengan hukum seperti mewajibkan bayaran diyat terhadap aqilah iaitu keluarga pembunuh.
Sesuatu perkara, termasuk adat atau uruf pada asalnya adalah harus kecuali jika ada yang bertentangan dengan syarak maka ia dianggap sebagai adat yang fasik. Jadi adat atau uruf ini terbahagi kepada dua iaitu adat atau uruf yang baik dan adat atau uruf yang fasik. Adat yang fasik ini perlu dielakkan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Persandingan dan meletakkan bunga di atas kubur termasuk dalam adat atau uruf yang diharuskan.
Tujuan persandingan iaitu sebahagian daripada acara walimah (kenduri kahwin) ialah untuk memberitahu lebih jelas kepada masyarakat tentang perkahwinan sah di antara seorang lelaki dan wanita secara halal. Walimah adalah satu sunnah. Persandingan dalam perkahwinan adalah bertujuan membuat pengumuman yang sebaik-baiknya dan dengan lebih jelas kepada masyarakat agar, antara lain tidak timbul fitnah dalam masyarakat ke atas pasangan berkenaan.
Sabda Rasulullah SAW “Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”(Riwayat Ahmad dan Tirmizi).
Persandingan harus dilakukan tetapi dengan menjaga syarat-syarat Syarak seperti tidak mendedahkan aurat, tidak membazir, tidak melebihi-lebihkan hiasan pengantin.
Adapun meletakkan bunga di atas kubur merupakan satu adat yang menjadi perdebatan di kalangan ulama.
Berkenaan dengan menabur bunga, boleh dirujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-65 yang bersidang pada 13 Oktober 2004. Mereka telah membincangkan Hukum Amalan Membawa Bunga Ketika Menziarahi Kubur. Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan membawa bunga ketika menziarahi kubur adalah tidak digalakkan dari perspektif agama.
Lajnah Fatwa al-Azhar ketika dipengerusikan oleh Syaikh Atiyah Saqr berpendapat setelah ditimbang dari dua pendapat yang harus dan haram, disokongkan pendapat yang mengharuskan kerana terdapat asal daripada Sunnah iaitu Nabi SAW pernah meletak pelapah tamar dan ranting yang masih hidup di atas pusara (Bukhari-Muslim). Jika bebunga hidup digunakan mengganti pelepah tamar dan ranting kayu, maka di situlah keharusannya. Tetapi jika karangan bunga itu dari jenis yang mahal atau menyerupai acara kaum bukan Islam, maka ia ditegah.
Di sini jika menabur bunga dengan niat yang baik seperti sekiranya bunga itu ditabur atas tanah perkuburan yang masih basah (hidup) itu bertasbih kerana Allah SWT, maka ia adalah harus.
Kesimpulannya di sini kebanyakan adat-adat Melayu pada asalnya adalah harus, termasuk persandingan dan menabur bunga di kubur jika memenuhi syarat-syarat dan ia tidak melanggar hukum-hakam Syarak.
Sumber : JAKIM
0 Ulasan