~~ HUKUM MELAKUKAN KORBAN ~~
Hukum asal ibadat korban itu adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun, jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah ia satu dosa.
“Tidak wajib menyembelih korban, melainkan hanya bagi mereka yang mampu. “
Ini juga pandangan yang dinukilkan oleh Syeikh Ali Hasan al-Halabi dalam buku Meneladani Rasulullah Dalam BerHari Raya (h. 86).
Namun, pendapat yang lebih kuat dan tepat hukumnya adalah sunat muakkad bagi setiap orang Islamyang mampu melakukannya.
Namun, adakah korban boleh menjadi wajib?Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan sama ada dengan cara:
NAZAR ITU NAZAR YANG SEBENAR ATAU NAZAR HAKIKI
Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
Yang maksudnya:
“Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya. Sesiapa yang bernazar menderhakai Allah s.w.t, maka janganlah ia menderhakai-Nya.” (Hadith riwayat Bukhari)
NAZAR DARI SEGI HUKUM SAHAJA
Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenarnya dan nazar dari segi hukum? Nazar sebenar atau hakiki itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti.”
Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban.” Maka ia dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menta’yinkan atau menentukan binatang tertentu untuk dijadikan korban.
Binatang yang dinazarkan sebagai korban atau binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Ia juga tidak boleh dijual, disewakan atau dihibahkan kepada orang lain.
Sekiranya bintang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkorban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulang harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya maka menggantikan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga.
Jika luput daripada menyembelihnya, maka wajb menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha’ yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dangan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu, maka hendaklah ditambahnya dengan harta yang lain.
Jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Aidiladha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut, hendaklah diganti walaupun harganya lebih tinggi berbanding dengan binatang yang sebelumnya.
Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.
Jika binatang korban itu dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada empunya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu.
Jika binatang korban yang wajib disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih binatang yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.
Jika binatang korban yang telah dita’yinkan atau ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Aidiladha adalah memadai sebagai korban.
Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Aidiladha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada hari ranya Aidiladha itu. Tetapi wajib bersedekah binatang yang disembelih itu.
Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Aidiladha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai sebagai korban, kerana telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, maka wajib diganti dengan yang baharu.
Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya.
Tetapi di sana ada pengecualian iaitu seorang bapa atau datuk boleh melaksanakan korban bagi orang yang diwalikan seperti anak dan cucunya dengan diambil perbelanjaan sama ada daripada harta ayah atau datuk atau anak atu cucu itu sendiri.
Tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika si-mati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.
Orang yang membuat korban bagi si-mati dengan izinnya (yakni dengan wasiatnya), wajiblah ke atasnya sedekah kesemuanya. Tidak ada bahagian untuk dirinya atau orang-orang di bawah tanggungannya, kerana ianya merupakan orang yang menerima amanah untuk menyerah apa yang diamanahkan kepada orang lain. Lihat perbincangan lanjut tentang perkara ini dalam kitab Matla’ al-Badrain.
Sumber: Jabatan Mufti Terengganu
0 Ulasan