Imam Muslim dalam kitabnya ‘Sahih Muslim’ menjelaskan dalam Bab Keharusan Minum Air Nabeez Selagi Ia Tidak Berbuih dan Tidak Memabukkan.
Air ‘nabeez’ ialah jus buah-buahan yang diperam. Pada zaman Nabi Muhammad SAW biasanya air ‘nabeez’ diperbuat daripada rendaman buah kurma atau kismis. Buah kurma atau kismis direndam semalaman dengan ditutup bekas rendaman dan kemudian pada keesokan hari diminum jus tersebut bersama-sama dengan kurma atau kismis yang direndam.
Terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa Nabi Muhammad saw pernah minum air ‘nabeez’. Syu’bah berkata: Yahya al-Bahrani melaporkan, “Pada suatu hari, beberapa orang bertanya kepada Abdullah bin ‘Abbas tentang hukum minum air ‘nabeez’. Abdullah bin ‘Abbas menjelaskan, ‘Rasulullah saw pernah dibuatkan untuk baginda air ‘nabeez’ dalam satu bekas minuman’. Syu’bah berkata, ‘Air ‘nabeez’ itu diperam pada malam isnin. Kemudian baginda minum air itu pada keesokan harinya iaitu hari Isnin dan hingga waktu asar hari Selasa. Jika terdapat air yang lebih, baginda memberikan air itu kepada pembantunya untuk diminum atau baginda akan menyuruh agar air itu dibuang.’” Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim (Sahih Muslim, jil. 10, hlm. 267)
Imam al-Nawawi menjelaskan, hadis ini menunjukkan bahawa harus hukumnya minum air jus rendaman kurma atau kismis (air ‘nabeez’). Air ‘nabeez’ ini dibenarkan untuk diminum, selagimana ia tidak berbuih dan tidak memabukkan. Keharusan ini disepakati oleh para ulama. Jika sudah berbuih atau memabukkan, maka haram diminum. (Syarah Sahih Muslim, jil. 7, hlm. 34).
Thumamah melaporkan, “Saya pernah berjumpa dengan Aisyah dan bertanya kepadanya tentang hukum minum air ‘nabeez’. Kemudian Aisyah memanggil seorang pembantu perempuan daripada keturunan Habsyah dan berkata, ‘Kamu tanya kepadanya kerana dia yang membuat air ‘nabeez’ untuk Rasulullah saw.’ Kemudian perempuan itu pun menjelaskan, ‘Saya membuatkan air ‘nabeez’ untuk Rasulullah. Saya merendam kurma dalam satu bekas dan kemudian saya tutup bekas itu dengan ikatan yang kuat. Pada keesokan hari, baginda akan minum air rendaman itu.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam Muslim (Sahih Muslim, jil. 10, hlm. 271).
Namun begitu, Nabi Muhammad SAW melarang daripada merendam beberapa jenis buah-buahan dalam bekas yang sama. Jabir bin Abdullah melaporkan, “Nabi Muhammad saw melarang daripada merendam kismis bersama-sama dengan kurma kering atau kurma muda (al-busr) dengan kurma kering (al-tamr).” (Sahih Muslim, jil. 10, hlm. 197).
Wallahua’lam
Sumber : JAKIM
0 Ulasan