ADAKAH NERAKA KEKAL?

 



ADAKAH NERAKA KEKAL?
Oleh: Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran, Felo Fatwa
Perbahasan berkaitan neraka sama ada ia kekal atau tidak merupakan salah satu maudhuk yang berkait dengan akidah Islam. Persoalan yang dibangkitkan berkaitan dengan isu ini ialah sama ada neraka kekal selama-lamanya dan adakah orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka kekal diazab oleh Allah? Sekiranya neraka kekal, maka tidakkah ini akan menunjukkan bahawa ada yang kekal selain Allah dan akan membawa kepada faham kepelbagaian perkara-perkara kekal (ta’addud al-qudama’) yang tidak selari dengan Akidah Islam yang berasaskan tauhid. Serta adakah ini tidak bertentangan dengan sifat Allah yang Maha Penyayang?
Dalam meneliti perkara ini, beberapa perkara penting harus diteliti. Pertamanya al-Qur’an merupakan sumber tertinggi dalam menghuraikan permasalahan akidah yang bersifat sam’iyyāt (yang tidak mampu digarap oleh pancaindera dan akal manusia). Yang jelas, banyak ayat-ayat al-Qur’an banyak yang menerangkan bahawa orang-orang kafir akan kekal dalam neraka. Misalnya:
i."( Bukan demikian ), yang benar, barangsiapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, mereka itu penghuni surga; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah: ayat 81-82)
ii.“Tidaklah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahwasanya barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka jahannamlah baginya, kekal mereka di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang besar.” (Surah al-Taubah :Ayat 63)
iii. “Allah mengancam orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka, dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab yang kekal.” (Surah Al-Taubah Ayat 68)
iv.“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam Neraka Jahanam, kekallah mereka di dalamnya.” (Surah al-Bayyinah : Ayat 6-8)
Sementara dalam Hadis Nabi disebut: "Maka aku mengeluarkan mereka (orang-orang beriman yang masuk neraka) dari neraka, sehingga tidak tersisa di dalam neraka, kecuali orang yang ditahan oleh al- Qur’an, yaitu orang yang pasti kekal (di dalam neraka)". [HR Bukhari, Muslim, dan lainnya, dari Anas bin Malik]
Berdasarkan ayat-ayat ini jumhur ulama Ahl Sunnah Waljamaah berpandangan bahawa neraka dan azab yang menimpa orang-orang yang dimasukkan kedalamnya adalah kekal. Menurut Imam Abu Hasan al-Ash’ari, semua tokoh Islam, kecuali Jahm bin Safwan berpendapat bahawa kenikmatan ahli syurga bersifat abadi dan tidak pernah putus. Demikian juga siksaan ahli neraka. Jahm bin Safwan, menurut Imam al-Ash'arī, sebaliknya berpendapat syurga dan neraka beserta penghuninya akan musnah sehingga yang ada hanya Allah, sebagaimana pada mulanya. (Abu Hassan al-Ash'ari, Maqalāt al-Islāmiyyin, vol.2, bawah tajuk Keabadian Nikmat Syurga dan Neraka).
Menurut para mutakallimun sifat abadinya neraka juga bermaksud ia tidak bersifat fana seperti kewujudan duniawi berdasarkan firman Allah mereka kekal di dalamnya (khalidīna fīhā abada), namun kewujudannya tetap tertakluk kepada kekuasaan Allah (al-Taftazani, Sharh al-Aqā’id al-Nasafī, Bab ‘Syurga dan Neraka Keduanya Benar’) Adakah ini bertentangan dengan ayat al-Qur’an (al-Qasas ayat 88) yang mengatakan bahawa: “Setiap perkara akan musnah kecuali wajahNya”. Ia bukanlah satu pertentangan kerana walaupun syurga dan neraka bersifat abadi, namun ia tetap makhluk dan dicipta oleh Allah. Dengan kata lain ia mempunyai permulaan apabila dijadikan oleh Allah. Dalam akidah Islam, ia termasuk dalam kategori alam atau apa yang selain Allah (mā siwa Allah). Dan walaupun kedua-duanya disebut oleh al-Qur’an sebagai kekal, kedua-duanya masih tertakluk kepada kehendak dan kuasa Allah (iradah dan qudrah Allah). Sekiranya Allah berkehendak memusnahkannya maka ia akan musnah.
Namun oleh kerana Allah telah berfirman bahawa mereka yang di dalam neraka itu kekal, maka ia akan tetap kekal. Dengan kata lain kekalnya neraka itu adalah atas kehendak dan perintah Allah dan bukan kekal dengan sendirinya sebagaimana Zat Allah. Kekalnya neraka juga tidak bersifat wajib kerana neraka seperti tiap-tiap makhluk Allah yang lain bersifat mumkin atau hadith yang bererti kewujudannya tidak wajib.
Pandangan Ibn Qayyim Antara ulama yang berbeza pandangan dengan pandangan umum ini ialah Ibn Qayyim al-Jawzi yang mengatakan dalam kitabnya Syifa’ al-Alīl bahawa neraka mempunyai batas waktu dan ia akan musnah apabila sampai batas waktu tersebut. Beliau berhujjah dengan ayat al-Qur’an Surah al-Naba’:23, al-An'am:128 dan Hud:108. Surah al-An'am:128 misalnya mengatakan, “Mereka kekal di dalam neraka kecuali Allah berkehendak lain” (QS. Al An’am: 128) Ibn al-Qayyim berhujjah bahawa al khulūd artinya tetapnya sesuatu pada waktu yang tertentu. Seandainya neraka itu kekal selamanya tentu Allah akan berfirman khālidīna fīhā abada.
Namun pandangan Ibn al-Qayyim ini dapat diimbangi dengan melihat dalam ayat-ayat yang lain jelas mengatakan bahawa mereka yang engkar akan kekal dalam neraka selama-lamanya (menggunakan perkataan khālidīna fīhā abada) seperti dalam surah al- Jinn :23, Allah berfirman: “Orang yang mengingkari Allah dan Rasul-Nya, baginya neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya selamanya.” (Qs. Al Jin: 23) Juga firman Allah Ta’ala tentang orang kafir di neraka: “Mereka menginginkan untuk keluar dari neraka namun tidak mampu. Bagi mereka azab yang kekal.” (Qs. Al Ma’idah: 37) Juga firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Baqarah:167: “Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.” Orang-Orang yang mempunyai iman walaupun sedikit tidak kekal dalam neraka.
Namun para ulama akidah juga berpandangan bahawa seorang Muslim walaubagaimana besarpun dosanya , asalkan masih mempunyai iman walaupun sebesar zarrah, tidak akan kekal dalam neraka. Ini berasaskan ayat al-Qur’an Surah al-Anbiya’:47 “Dan ingatlah Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk menimbang amal makhluk-makhluk pada hari kiamat, maka tidak ada diri sesiapa yang akan teraniaya sedikitpun dan jika amalnya seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai penghitung” Dan dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim dan al-Nasa’i, Nabi menyebut: “Ahli syurga akan masuk syurga, dan ahli neraka akan masuk neraka. Kemudian Allah Taala berfirman: Keluarkanlah dari neraka sesiapa sahaja yang ada di dalam hatinya keimanan sekalipun seberat biji sawi.” Maka dikeluarkanlan mereka dari neraka tadi dan tubuhnya sudah hitam hangus, lalu dimasukkan ke dalam “bahrul hayat” (sungai kehidupan) untuk memberikan semangat hidup kembali, lalu tumbuhlah mereka sebagaimana tumbuh benih di tanah yang terkena air bah. Tidakkah engkau tahu benih itu akan keluar berwarna kuning dan berseri-seri.” Hadis lain menyebut: “Allah Ta’ala akan mengeluarkan orang-orang yang masih memiliki iman seberat biji sawi dari neraka.”
Dengan demikian, orang yang bertauhid yang mati dalam keadaan beragama Islam, namun ia masuk ke neraka disebabkan maksiat, mereka tidak kekal di neraka. Bahkan Allah akan mengeluarkan mereka dari neraka ke syurga. Ini adalah pendapat yang benar yang merupakan pendapat Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang berbeda dengan pendapat Khawarij, Mu’tazilah dan orang-orang yang sepemahaman dengan mereka. Mereka mengatakan bahawa maksiat dapat menyebabkan pelakunya kekal di neraka. Hakikat bahawa orang-orang yang beriman tidak akan kekal dalam neraka tidaklah membuktikan bahawa neraka itu tidak kekal. Ini kerana orang yang tidak beriman akan tetap tinggal dalam neraka seperti orang-orang kafir, syirik dan munafiq.
Sumber: JAKIM

Catat Ulasan

0 Ulasan